Sabtu, 23 Mac 2013

luahan



“Dan sesungguhnya ini jalanKu yang lurus (maka) kamu ikutilah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan (yang lain) nanti kamu akan bercerai berai dari jalanNya. Allah berpesan yang demikian itu supaya kamu bertaqwa” (Al-An’aam:153)

Menerusi blog Ini Jalanku, kita berharap dapat membentuk kefahaman mengenai Islam yang syumul (menyeluruh) dan sedikit sebanyak gambaran Jalan yang harus kita lalui dalam menuju kepada keredhaan Ilahi dan kebahgiaan di dunia dan Akhirat. Namun, kita masih berlegar-legar dalam mendapat hanya gambaran Jalan tesebut. Kita tidak akan ke mana kecuali kita menempuh atau melalui Jalan itu sendiri. Menempuh Jalan adalah dengan memahami Usul 20, Amal 7, Wajibat 38 dan seterusnya yang akan saya bentangkan. Ingatlah, medan khayal tidak sama dengan medan kata-kata. Medan kata-kata tidak sama dengan medan amal dan tindakan. Medan amal tidak sama dengan medan jihad. Medan jihad yang salah tidak sama dengan medan jihad yang sebenar yang menuju ke matlamat yang dikehendakki Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Meneliti Seerah Rasulullah saw, kita jelas mendapati jalan perjuangan dan fasa-fasa yang dilalui oleh Baginda saw dan para Sahabat ra seperti yang diatur oleh Allah swt. Sebaik turun dari Gua Hirak pada 610M, Nabi saw mula membentuk (1) Peribadi-peribadi Islam yang bakal mendokong Dakwah Islam dan teguh melalui jalan panjang hingga mencapai matlamatnya. Setiap sahabat pula mendidik keluarga masing-masing hingga menjadi (2) Keluarga Islam sejati lagi mithali. Kesemua isteri dan anak-anak Nabi saw seperti Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah mendokong Risalah dan melalui Jalan yang dilalui Baginda saw. Begitu juga Abu Bakar As-Siddiq didokong oleh isteri dan anak-anaknya Abdullah, Abdur Rahman, Aisyah, Asmak dan lain-lain. Tumbuhnya keluarga-keluarga Islam ini mewarnai dan mencorak suasana dan didikan Islam di sekitar, maka lahirlah bibit sebuah (3) Masyarakat Islam di Mekah sebelum mereka diperintah oleh Allah dan RasulNya saw untuk berhijrah ke Madinah pada tahun 622M membentuk sebuah (4) Kerajaan Islam dibawah pimpinan Rasulullah saw sendiri. Di Madinah, turun ayat-ayat Al-Quran mengenai Perundangan Islam sedikit demi sedikit menyentuh dan mengatur dari kehidupan ibadah dan sosial kepada hal ehwal berkait dengan kenegaraan dan Jihad (kekuatan dan kedaulatan) sehinggalah sempurna ciri-ciri sebuah (5) Negara Islam di Madinah. Selepas Pembukaan Mekah pada tahun 630M, kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Arab datang berbondong-bondong ke Madinah mengiklankan penggabungan ketua negara, kerajaan dan rakyat masing-masing di bawah Rasulullah saw dan berterusan ke zaman Abu Bakar As-Siddiq ra membentuk (6) Khilafah Islam. Pada masa itu, kuasa besar masih di tangan Kerajaan Rum dan Kerajaan Parsi. Selepas Rasulullah saw wafat (632M), Islam mengalahkan kedua-dua Kuasa Besar tersebut di zaman Umar Al-Khattab ra. lalu Islam ditabal (7) Memimpin Alam Sejagat dan terus membimbingnya dengan Sistem Islam ke arah mendapatkan Syurga dan keredhaan Allah swt.

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam dan dunia), ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan) aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran;31). Kepada mereka yang mencintai Allah dan berazam menuju kepadanya Seerah RasulNya itulah jalan menuju kepadaNya. Berusaha dan beramallah melalui Jalan dan fasa-fasa di bawah :

TAJUK-TAJUK RUKUN AMAL 7 
  1. Peribadi Islam
  2. Keluarga Islam
  3. Masyarakat Islam
  4. Kerajaan Islam
  5. Negara Islam
  6. Khilafah Islam
  7. Memimpin Alam



TAJUK-TAJUK USUL 20 
1.      Islam adalah agama yang menyeluruh dan lengkap.
2.    Al-Quran dan As-Sunnah adalah rujukan asas dalam perundangan Islam.
3.     Iman sejati, ibadah yang sah dan perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan di dalam hati. Ilham, lintasan hati, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.
4.    Tangkal, jampi selain ayat Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang belum berlaku) adalah munkar yang wajib dibenteras.
5.     Keputusan pimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat, yang tiada nas atau ada nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.
6.    Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.
7.     Seorang yang belum pakar dalam Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa taksub. Terimalah pandangan mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.
8.    Perbezaan dalam Feqah jangan membawa kepada perpecahan hati.
9.    Jauhi perdebatan Feqah yang tidak membawa kepada tindakan amali.
10. Kita beriman kepada Ayat-ayat Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.
11.  Semua Bid’ah yang tiada asas Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.
12.Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah, Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.
13. Keramat boleh berlaku pada Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi menfaat atau mudharat kepada diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.
14.Ziarah kubur adalah sunnah Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.
15. Tawassul dalam berdoa adalah khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.
16.Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.
17. Amal hati lebih utama dari amal anggota. Kedua-duanya penting.
18.Islam mengangkat peranan akal manusia.
19.Tiada pertembungan diantara Syarak dan ilmu Sains yang sahih.
20.Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat. 


Wajibat adalah plural kepada “wajib” bererti kewajipan-kewajipan. Ia bermakna kewajipan-kewajipan yang harus kita lakukan di sepanjang kita melalui atau menempuh Jalan Dakwah dalam menuju kepada Allah swt. Kekurangan atau kepincangan dalam melaksanakannya sering menyebabkan seseorang tergelincir menyimpang dari Jalan sebenar atau berada di dalam Jalan tetapi berhenti di pertengahannya sahaja. Dalam kedua-dua hal di atas, kesudahannya ialah dia tidak kesampaian ke hujung Jalan.

TAJUK-TAJUK WAJIBAT 38 
  1. Bacalah Al-Quran setiap hari dan baikilah cara bacaan kita.
  2. Banyakkan membaca buku-buku Seerah, Hadis, Aqidah, Feqah dan lain-lain.
  3. Jagalah kesihatan.
  4. Jauhi minuman dan merokok yang boleh menjejas kesihatan.
  5. Sentiasa berada dalam kebersihan.
  6. Jangan bercakap bohong.
  7. Jangan memunkiri janji.
  8. Jadilah seorang yang berani.
  9. Jaga hemah diri untuk orang boleh menghormati.
  10. Hiasi diri dengan sifat malu, tawadhuk, sensitif terhadap baik dan buruk.
  11. Jadilah seorang yang adil dalam semua keadaan.
  12. Aktifkan diri dalam kerja-kerja khidmat masyarakat.
  13. Milikilah sifat-sifat yang dengannya kita disenangi orang ramai.
  14. Mahir dan banyakkan membaca dan menulis.
  15. Berniaga sendiri adalah sifat yang mulia bagi pendakwah.
  16. Bekerja sendiri lebih baik untuk Dakwah dari makan gaji kerajaan.
  17. Setiap kita mesti cemerlang dalam apa bidang atau pekerjaan yang diceburi.
  18. Bersegera menunaikan hak-hak diri dan orang lain tanpa berlengah-lengah.
  19. Jauhi judi dan segala aktiviti pendapatan wang yang haram.
  20. Jauhi riba.
  21. Bantu tingkatkan ekonomi umat Islam.
  22. Peruntukkan sebahagian wang kita untuk Dakwah dan orang yang memerlukan.
  23. Buat tabungan wang untuk kecemasan dan jauhi bermewah dalam berbelanja.
  24. Praktikkan budaya Islam menggantikan budaya Barat yang dipakai orang ramai.
  25. Jauhkan diri dari kelab dan ideologi yang jauh dari Islam.
  26. Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan sunat dan nawafil.
  27. Sentiasa dalam keadaan bersuci.
  28. Solat dengan sempurna, secara berjemaah di surau atau masjid.
  29. Tunaikan puasa Ramadan dan Haji tanpa lengah jika telah mampu.
  30. Sentiasa rindu Jihad, mati syahid dan membuat persiapan untuknya.
  31. Selalu bertaubat dan istighfar. Jauhi dosa dan muhasabah diri setiap hari.
  32. Berjihad melawan nafsu sehingga kita dapat memimpinnya.
  33. Jauhi arak dan apa yang memabukkan.
  34. Jauhi orang yang jahat dan rosak serta sarang-sarang maksiat dan dosa.
  35. Tinggalkan sikap berpoya-poya dan bermewah-mewah.
  36. Saling berkenalan dan bantu membantu dengan pendokong-pendokong Islam.
  37. Jauhi badan atau kumpulan yang sia-sia.
  38. Sentiasa berfikir dan berusaha menjayakan Dakwah Islam dalam masyarakat.


deruman mesin, simen batu, dan kehidupan




Tengahari itu matahari memancar dengan sangat terik. Bahangnya sangat kuat. Peluh keluar sesuai dengan keringat yang dicurahkah. Rasanya begitu enak kalau dapat minum air bersama ais. Tapak pembinaan itu sungguh bising. Bunyi deruman mesin disamping jeritan-jeritan pemantau kontraktor menambah lagi kebisingan di kawasan pembinaan itu.
Dari tingkat atas pembinaan, seorang pemuda sedang tekun menyapu simen pada dinding bangunan baru yang sedang dibina. Setelah penat, dia berhenti sekejap. Memandang dengan asyik pekerja di bawah yang sedang bertungkus lumus sedang mencampurkan adunan simen. Masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing dek mencari sesuap rezeki.
Matanya tiba-tiba berhenti pada sesuatu. Dia dapat melihat sebatang besi besar telah hampir untuk jatuh dari atas. Dia perlu cepat bertindak memberitahu orang di bawah sana. Jika tidak, tentu ada yang tercedera. Bencana di tempat pembinaan bukanlah boleh di buat main-main. Terleka sahaja, ia mungkin mengundang maut. Dia cuba menjerit dengan kuat dari atas. Tetapi jeritannya itu ditenggelami oleh bunyi deruman mesin. Nyata dia tewas. Suaranya tidak berjaya menarik perhatian orang di sana.
Lantas dia mendapat idea. Dikutip beberapa batu yang terdapat dalam adunan simen itu. Dibalingkan batu itu kepada rakannya yang berada di bawah. Batu yang mengena kepala mereka membuatkan mereka memandang ke atas. Mesej dapat disampaikan. Malapetaka dapat diselamatkan.
---------
Kisah yang dikongsikan merupakan analogi tentang kehidupan kita. Pekerja di bawah adalah umpama kita. Pekerja yang di atas adalah tuan kita dan manakala batu yang dilemparkan itu adalah ujian, atau kesakitan atau malapetaka.
Kehidupan kita sentiasa sibuk. Seperti mana bunyi mesin itu, kehidupan kita tidak pernah sunyi dan tidak pernah habis dengan urusan dunia. Sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan urusan kerja, sibuk dengan urusan rakan-rakan dan banyak lagi. Ia berlarutan dan berlarutan, menyebabkan kita lupa untuk mendongak ke atas. Kita begitu asyik dengan masalah di bawah.
Oleh itu, kadangkala batulah yang dilemparkan kepada kita. Bukan untuk menyakitkan tetapi untuk menyedarkan kita untuk melihat ke atas. Begitu juga dengan cubaan, ujian yang dilemparkan-Nya kepada kita. Tujuannya adalah supaya kita melihat ke atas. Melihat ke  atas supaya kita tidak leka dengan urusan dunia. Melihat ke atas supaya kita sering mengingati-Nya dan melihat ke atas untuk kita memperolehi petunjuk-Nya. Melihat ke atas supaya kita dekat dengan-Nya.
Maka itu, jika kita ditimpa bencana, usah difikirkan adakah Tuhan tidak menyayangi kita. Tetapi ia mungkin perkara disebaliknya. Mungkin kita terlalu sibuk dengan urusan dunia dan maka itulah dilemparkan batu kecil kepada kita untuk kita memandang ke atas dan dekat dengan-Nya.
Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Penyayang. Lebih-lebih lagi jika hamba-Nya begitu hampir dengan-Nya.